Solat merupakan salah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah diatur dan ditetapkan oleh ALLAH s.w.t., firmanNya yang bermaksud: “ Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya. “ (Surah al-Nisa’ 4:103)
Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan pada waktunya, dinamakan sebagai al-ada’ dan apabila solat dilaksanakan di luar waktunya disebut sebagai al-qada. Secara lebih mendalam, qada didefinisikan sebagai:
“ Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas waktunya atau melakukan solat selepas waktunya yang telah ditetapkan. “
Sebab yang membolehkan qada solat adalah kerana tertidur dan terlupa. Kedua-duanya situasi ini adalah dimaafkan bagi seorang yang tidak solat pada waktunya. Hendaklah dia mengqadakan sejurus dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: “ Sesiapa yang lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Tidak ada hukuman selain daripada itu. “ (Riwayat al-Bukhari no.572 dan Muslim no.684)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam surah al-Fath ayat 11 dan 71 ketika menerangkan makna hadis ini berkata: “ Kewajipan mengqada solat atas orang yang sengaja meninggalkannya adalah lebih utama kerana hal itu termasuk sasaran (khitab) pemerintah untuk menunaikan solat dan dia harus melakukannya. “
Dapat difahami daripada ulasan Ibn Hajar bahawa betapa oaring yang terlupa dan tertidur diperintah untuk mengqada solatnya apatah lagi orang yang sengaja meninggalkannya, maka lebih wajib dan utama untuk menggantikan solatnya.
Hadis di atas juga menerangkan bahawa mereka yang tertinggal solat kerana terlupa dan tertidur tidak berdosa tetapi wajib menggantikannya. Manakala mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, dia berdosa besar kerana kesengajaannya meninggalkan solat namun kewajipan qada tetap perlu dilakukan.
Sewajarnya mereka yang masih belum selesai ‘hutang’ mengqada solatnya, maka rebutlah peluang semasa masih ada umur sebelum tibanya kematian. Sesungguhnya ALLAH MAHA PENYAYANG kepada hamba-hambanya. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment